Malaikat Maut & Roh Kematian Yang Hampir

Hiasan

Bismillahirrahmanirrahim  Segala puji bagi Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasihani.Kali ini admin myberita.net terpanggil untuk menulis semula satu artikel yang amat menarik untuk dikongsikan dan diambil pengajaran.Artikel ini diambil dari salah satu akhbar Way of Life iaitu sisipan iluvislam pada bulan februari 2010 muka surat yang ke 28. Keratan artikel ini bertajuk malaikat maut & roh kematian yang hampir.

Diriwayatkan oleh Abdullah bin Abbas r.a. Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud  ” Bahawa malaikat maut memerhati wajah manusia di muka bumi ini 70 kali dalam sehari.Ketika Izrail datang merenung wajah seseorang, didapati orang itu ada yang gelak ketawa. Maka berkata Izarail: Alangkah hairannya aku melihat orang ini, sedangkan aku diutus oleh Allah Taala untuk mencabut nyawanya, tetapi dia masih berseronok-seronok dan bergelak ketawa.”

Manusia tidak akan sedar dirinya sentiasa diperhatikan oleh malaikat maut kecuali orang-orang yang soleh yang sentiasa mengingati mati,Golongan ini tidak lalai dan sentiasa sedar tehadap kehadiran malaikat maut kerana mereka selalu meneliti hadis Nabi S.A.W yang menjelaskan mengenai perkara ghaib terutama hal ehwa mati dan hubungannya dengan malaikat maut. Meskipun mata manusia hanya mampu melihat benda yang nyata, namun pandangan mata hati mampu melihat alam ghaib iaitu dengan memandang menerusi keyakinan iman dan ilmu.

Sebenarnya manusia sedar bahawa setiap makhluk yang hidup pasti akan mati. Tetapi manusia menilai kematian dengan pelbagai tanggapan . Ada yang menganggapnya sebagai suatu tabie dan tidak kurang juga yang mengaitkannya dengan sebab zahir sahaja. Mereka mengambil logik bahawa banyak kematian disebabkan sesuatu tragedi seperti peperangan , bencana alam dan kebakaran.

Selain itu, mereka juga melihat kematian kerana serangan penyakit berbahaya seperti barah, sakit jantung, AIDS dan sebagainya. Disebabkan manusia melihat kematian hanya dari sudut sebab musabab yang lumrah, maka mereka sering mengaitkannya dengan kejadian-kejadian tadi. Jika berlaku kematian di kalangan mereka, mereka lantas bertanya, ” Sebab apa si fulan itu mati ? Sakitkah atau krmalangan ? “

Tidak ramai yang mengaitkannya dengan kehadiran malaikat maut yang datang tepat pada saat ajal seseorang sudah sampai, sedangkan malaikat maut sentiasa berlegar di sekeliling manusia sekali gus mengenal pasti dan memerhati orang-orang yang tempoh hayatnya sudah hampir tamat.

Malaikat maut menjalankan arahan Allah S.W.T dengan tepat dan sempurna. Dia tidak diutuskan hanya untuk mencabut roh orang yang sakit sahaja ataupun roh orang yang mendapat kecelakaan dan mala petaka, Jika Allah S.W.T menetapkan kematian seseorang menerusi kemalangan ataupun sakit tenat, maka Izrail akan mencabut roh orang itu pada waktu itu juga.

Ajal juga tidak mengenali orang yang sihat, kaya ataupun yang sedang hidup rehat dibuai kesenangan. Malaikat maut datang tepat pada waktunya tanpa mengira orang itu sedang ketawa riang atau mengerang kesakitan. Bila ajal sudah tiba, kematiannya tidak akan bertangguh walau sesaat.

Walau bagaimanapun, ada ketikanya Allah S.W.T menjadikan sesuatu kematian dengan hikmah di sebaliknya. Misalnya sakit tenat yang ditanggung seseorang berbulan-bulan akan menjadi rahmat bagi orang yang beriman dan bersabar. Ini kerana Allah Taala memberi peluang dan kesedaran agar dia mengingati mati. Untuk itu dia akan menggunakan masa atau usia yang ada untuk berbuat sesuatu, membetulkan dan bertaubat daripada dosa dan kesilapan, memperbaiki amalan serta menambah bekalan untuk akhirat agar tidak muflis di akhirat kelak.

Kematian secara mengejut seperti disebabkan kemalangan akan menjadi pengajaran dan peringatan kepada orang yang masih hidup supaya sentiasa berwaspada dan tidak lalai dalam memperbaiki diri, menambah amal kebajikan serta meninggalkan segala kejahatan. Orang solihin menganggap sakit yang menimpa dirinya sebagai tanda Allah S.W.T masih menyanyanginya. Bagi mereka, adalah malang jika roh mereka diambil oleh Allah S.W.T secara tiba-tiba tanpa sebarang amaran terlebih dahulu seolah-olah Allah S.W.T memurkai mereka.

Selain itu, Allah Taala menjadikan sebab-sebab kematian bagi memenuhi janjiNya kepada malaikat maut sebagaimana diriwayatkan oleh Saidina Abbas r.a. dalam sebuah hadis nabi yang panjang. Antara lain hadis tersebut menjelaskan bahawa Izrail sedih apabila dibebankan dengan tugas mencabut roh makhluk-makhluk bernyawa kerana antaranya ialah kekasih-kekasih Allah S.W.T iaitu para rasul, nabi, wali dan orang soleh. Malaikat maut turut mengadu betapa dirinya tidak disenangi keturunan Adam a.s . Dia mungkin dicemuh kerana tugasnya mencabut roh manusia menyebabkan ada orang yang berdukacita kerana kehilangan saudara-mara yang tersayang.

Diriwayatkan bahawa Allah S.W.T berjanji akan menjadikan pelbagai sebab kepada kematian yang bakal dilalui keturunan Nabi Adam A.S sehingga mereka akan memikir dan mengaitkannya dengan sebab-sebab yang dialami mereka. Apabila berlaku kematian, mereka akan berkata bahawa orang itu mati kerana sakit ataupun disebabkan kemalangan. Lantas mereka akan lupa mengaitkannya dengan Malaikat maut. Ketika itu Izrail tidak perlu bersedih lagi.

Walau apa pun, hakikatnya ajal itu ketetapan Allah yang telah termaktub sejak azali lagi. Semuanya tetap nyata dalam takdir Allah bahawa kematian pasti tiba pada saat yang ditetapkan. Izrail hanyalah tentera Allah yang menjalankan tugas seperti yang diamanahkan kepadanya. Namun, adalah menjadi hak Allah Taala untuk menentukan kematian seseorang itu sama ada bersebab atau tidak.

Wallahu a’lam.

~ Artikel Edisi Khas myberita.net ~