Menarik! Larangan Mengubah Wajah

Ketaksuban sesetengah individu untuk kelihatan cantik menyebabkan mereka mengenepikan larangan agama. Kecantikan dalam Islam bukanlah sesuatu yang salah tetapi ia harus mengikut garis yang telah ditetapkan.

SEMAKIN ramai masyarakat moden yang berkemampuan yang sanggup berhabisan duit membuat pembedahan mengubah wajah. – Gambar hiasan

DALAM dunia yang serba moden ini, banyak cara digunakan untuk tampil cantik. Ketaksuban sebilangan kaum Adam dan Hawa itu menyebabkan mereka sanggup melakukan perubahan fizikal hingga mengenepikan larangan agama.

Firman Allah dalam surah At-Tin ayat 5: “Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya”.

Menurut Imam Muda Amiril Md. Banin, 28, mengikut nas yang ada pada dalil al-Quran menyatakan, jangan ubah ciptaan Allah Taala.

“Ciptaan Allah sudah sempurna dan kita adalah sebaik-baik kejadian, jadi mengapa perlu ubah?

“Menyentuh aspek kecantikan dalam wanita pula, mengikut sebahagian pendapat ulama-ulama yang terbaru ini yang dipersetujui oleh ahli fatwa, wanita yang sudah berkahwin boleh mencantikkan diri mereka untuk suami sahaja dan hukumnya harus,” katanya ketika dihubungi Kosmo!.

Jika bersandarkan hukum asal, ulama tidak membenarkannya.

“Jika seseorang wanita itu sengaja untuk tunjuk cantik, ia tidak dibenarkan sama sekali.

“Kita sudah dijadikan sempurna dan cantik secara semula jadi. Jika mahu cantik, ikut sahaja pemakanan mengikut sunah Nabi seperti makan madu, tamar, susu dan sebagainya,” ujarnya.

Bagi penggunaan produk kecantikan, ia perlu disahkan halal dan tiada unsur syubhah iaitu unsur-unsur yang tidak jelas dan menimbulkan keraguan.

Jika ada individu yang sudah terlanjur melakukan pengubahan fizikal dan menyesal serta mahu membuangnya bagi mengembalikan rupa asal, Amiril memberitahu andai ia memudaratkan ia tidak perlu dibuang.

“Contohnya, pembuangan tatu. Jika seseorang itu boleh menanggung kesakitan tersebut, lebih baik ia dilakukan. Jika tidak, memadai baginya bertaubat terhadap apa yang telah dilakukannya,” jelasnya.

Ditanya sama ada pengambilan daging buaya untuk tujuan kecantikan dibolehkan dalam Islam atau tidak, Ustaz Mohd. Solihin Ghazali, 27, memberitahu, menurut pandangan yang sahih dalam kalangan ulama, buaya termasuk dalam kategori haiwan yang diharamkan untuk digunakan baik sebagai makanan atau untuk perubatan.

“Haiwan tersebut merupakan haiwan buas atau pemangsa. Ini merujuk kepada hadis Abu Tsa’labah al-Khusyani yang diriwayatkan oleh Imam Muslim, Imam Malik dan selainnya, bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Setiap haiwan buas yang bertaring haram memakannya”.

“Terdapat juga larangan daripada as-sunah berubat dengan sesuatu yang haram,” katanya.

Seperti yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dari hadits Ibnu Mas’ud, bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya Allah tidak menjadikan kesembuhan kalian pada sesuatu yang diharamkan kepada kalian.”

Begitu juga daripada Abu ad-Darda, bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya Allah menurunkan penyakit dan menurunkan ubatnya, serta menjadikan ubat bagi setiap penyakit. Namun janganlah kalian berubat dengan sesuatu yang haram”.

“Pengambilan daging buaya dan sejenis dengannya tidak boleh dianggap sebagai darurat kerana banyak lagi alternatif lain yang boleh digunakan untuk tujuan kecantikan menurut Islam.

“Antaranya, menggunakan bahan-bahan yang baik dan berkhasiat serta dianjurkan syarak untuk tujuan kecantikan seperti habatussauda, madu, minyak zaitun, lidah buaya, herba dan selainnya,” ujarnya.

Dalam pada itu, Pensyarah Fakulti Pendidikan dan Kaunseling Universiti Malaya, Profesor Madya Dr. Jas Laile Suzana Jaafar memberitahu, perasaan ingin cantik dalam diri seseorang wanita itu adalah normal.

“Perasaan itu normal kerana mereka mahu kelihatan rapi dan menitikberatkan aspek penampilan diri supaya orang di sekelilingnya hormat dan layan mereka dengan baik.

“Tidak semua wanita obses, tetapi tidak dinafikan ada segelintir wanita yang terlalu mengejar kecantikan dan mereka usaha sedaya upaya untuk cantik,” katanya.

Tambahnya, kebanyakan wanita melakukannya untuk kepuasan diri sekali gus ia dapat meningkatkan keyakinan dalam diri mereka.

“Dari segi psikologi, apabila seseorang itu rasa dirinya kekurangan, otak menerima signal untuk tampil cantik bagi menutup kekurangan yang ada.

“Contohnya, seseorang itu sudah ada sepasang mata yang cantik tetapi dia rasa tidak lengkap dan tidak cantik jika tidak memakai bulu mata palsu walaupun matanya cantik tanpa memakainya,” ujarnya. – NURUL IZZA ROSLY

Sumber