Misteri Piramid Dasar Laut Di Jepun

 

Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada para pembaca. KETIKA pelbagai misteri yang membabitkan piramid di Mesir dan piramid kaum Maya di Amerika Selatan masih membingungkan para penyelidik, tiba-tiba muncul pula sebuah lagi penemuan misteri piramid yang dijumpai berlokasi di Jepun pada tahun 1990-an malah penemuan piramid ini jauh lebih aneh kerana ia dijumpai berada di dasar lautan Jepun.

 

Pelbagai persoalan tercetus tatkala melihat piramid berkenaan terus berdiri kukuh di dalam laut melewati masa dan zaman – siapakah yang membina piramid di dalam laut, untuk apakah ia dibina dan bilakah ia dibina? Mengapakah pembinaannya tidak dilakukan di atas daratan?

 

Bingung dengan pelbagai persoalan itu maka para penyelidik mulai melakukan pelbagai kajian bagi membongkarkan teka-teki yang menyelubungi piramid misteri di dasar laut Jepun berkenaan.

Sebelum itu, piramid pertama mulai dijumpai di pelbagai wilayah negara matahari terbit itu sejak tahun 1950-an lagi sekaligus ia meninggalkan pelbagai persoalan mengenai hubungan bangunan berbentuk segitiga berkenaan dengan tamadun purbakala masyarakat Jepun kuno.

 

Sejak itu, beberapa lagi piramid purba berjaya ditemui yang ditinggalkan dengan permukaannya ditutupi oleh debu dan tanah. Ia dipenuhi dengan pelbagai macam tumbuhan liar sehingga bahagian luarnya tampak seperti sebuah gunung yang tinggi.

 

Bagaimanapun, sejak bulan Mac 1995, sesuatu yang mengejutkan turut ditemui – penyelam yang menyelam di dasar laut negara itu mendapati piramid di Jepun tidak sahaja berada di atas daratan tetapi juga di dalam lautan. Mereka menemui lapan lokasi peninggalan piramid sekitar Hiroshima hingga ke laut Pulau Yonaguni.

 

Tapak tinggalan pertama adalah sebuah bangunan empat segi yang tidak begitu jelas bentuk binaannya kerana ditutupi oleh batu karang sehingga bahagian buatan manusianya tidak dapat dikenal pastikan.

Sesudah itu seorang penyelam lain turut menemui sebuah piramid pada kedalaman kira-kira 13 meter di bawah permukaan laut Oklahoma Selatan pada musim panas 1996.

 

Penemuan itu semakin menaikkan semangat pasukan penyelidik untuk membongkarkan rahsia yang tersembunyi di dalam wilayah lautan Jepun. Gerakan mencari diperhebatkan dan kumpulan penyelam berkenaan kemudian berjaya pula menemui lebih banyak lagi monumen dan bangunan buatan manusia di dalam laut Jepun.

 

Mereka turut menemui kesan jalan yang panjang dan luas, tangga dan pintu melengkung yang tinggi dan megah serta batu raksasa yang dipotong dengan sempurna seolah-olah kawasan itu pernah didiami manusia suatu ketika dahulu.

 

Beberapa bulan kemudian, beberapa kalangan ahli arkeologi Jepun sekali lagi menemui bangunan berbentuk piramid yang sangat besar pada kedalaman 33 meter di bawah permukaan laut terbabit yang berada tidak jauh dari pergunungan Sinaguni yang terletak kira-kira 450 meter dari Hiroshima.

 

Bangunan raksasa itu berukuran sekitar 80 meter panjang, 200 meter lebar dan 30 meter tinggi terletak di sebuah kawasan luas yang kelihatannya seolah-olah telah digunakan untuk menjalankan suatu upacara tertentu dengan kedua belah sisinya terdapat sebuah pintu gerbang yang besar.

Pelbagai penemuan misteri itu semakin membingungkan para penyelidik –  apakah wujud manusia yang hidup di dalam lautan dan ke mana menghilangnya manusia² itu ketika ini?

 

Ahli arkeologi berpendapat bahawa kewujudan piramid di bawah laut itu mungkin adalah bukti awal bagi menunjukkan adanya peradaban zaman batu di Jepun yang masih belum diketahui sesiapakah pemiliknya.

 

Ahli geologi, Profesor Masaki Kimura yang telah menjadi pengkaji pertama meneliti misteri itu menyimpulkan bahawa bangunan lima tingkat itu adalah buatan ciptaan manusia.

 

Struktur ini bukanlah binaan yang wujud akibat alam semula jadi. Di sekeliling strukrur bangunan tersebut terdapatnya sesuatu yang mirip seperti laluan perjalanan dan ini semakin membuktikan bahawa ia adalah buatan manusia,” katanya ketika mulai mengulas penemuan itu lebih 10 tahun lalu.

 

Profesor Kimura percaya bahawa bangunan itu telah berusia lebih daripada 5,000 tahun lalu berdasarkan stalaktit yang ditemui pada gua di dasar lautan itu. Beliau juga berpendapat bahawa masih terlalu awal untuk mengetahui siapakah yang membina monumen berkenaan atau apakah tujuannya.

 

“Struktur bangunan ini mungkin merupakan sebuah istana dewa daripada agama zaman dahulu dan ia digunakan untuk tujuan memuja dewa² tertentu, sama seperti penduduk Hiroshima yang mempercayai kewujudan dewa Nirai-Kanai yang mampu mendatangkan kesejahteraan dari laut kepada mereka.

 

“Berdasarkan catatan, pada 10,000 tahun silam tidak ada manusia yang mampu menghasilkan monumen seperti ini tetapi kini mungkin terdapat bukti peradaban manusia yang masih belum diselongkarkan sejarah kewujudannya.

 

“Hanya manusia yang mampu memiliki teknologi bagi menyelesaikan projek seperti ini, bangunan yang sebegini besar harus menggunakan jentera pembuatan tertentu untuk membinanya,” katanya.

Yang terbaru profesor bersebut menyatakan bahawa teori terkini beliau selepas meneliti dan menjalankan kajian lebih 10 tahun terhadap binaan piramid tersebut adalah bahawa piramid itu sebenarnya bukanlah dibina di dalam laut tetapi ia sebenarnya berada di atas daratan tetapi kemudiannya telah tenggelam di dasar laut akibat dilanda bencana tsunami ribuan tahun lalu.

 

Bagaimanapun, teori itu masih lagi dipertikaikan oleh para penyelidik lain. Rekod catatan sejarah menunjukkan tsunami terbesar yang pernah menghempas Yonaguni adalah pada bulan April 1771 dan ia dianggarkan setinggi 40 meter dan dipercayai mampu menenggelamkan serta memusnahkan peradaban di tepi pantai berkenaan.

 

Sumber